Monday, April 30, 2012

Hekayat Perempuan Berpurdah

" Ye, kita memang tak sama, kita berbeza". ucap Azli Affendi dengan perlahan sambil merenung ke tanah.

" Saya tahu, saya ni bukan lelaki soleh, saya tak pakai serban macam Ustat Don, saya tak join himpunan sejuta umat, saya tak baca ILuvIslam, saya takde geng Usrah, saya tak tengok Imam Muda, huhuhu...Saya sedar siapa diri saya.", suara Azli Affendi semakin sebak dan tersekat.

Atiqah Yazid masih berdiri kaku bagai patung, tudungnya yang labuh bergoyang-goyang di bahagian hujung kerana di tiup angin petang. Cuaca sedikit mendung, mungkin kalau di perkenankan Tuhan, hujan akan turun.

" Siapa la saya ni, awak takkan pandang lelaki yang tak islamik macam saya, ye la saya ni sekular, baca pulak falsafah sesat Nietzsche, teori Karl Marx, Kant, Hegel, Socrates, Plato, saya pulak tak dengar lagu nasyid, dengar lagu Sex Pistol, Arctic Monkey, Beatles, Nirvana, The Strokes, tapi percaya lah awak, saya tak pernah dengar Kpop ! sekali lagi saya sedar siapa saya".

" Awak adalah bidadari di syurga tertinggi, saya pulak di dasar neraka, itu maksud awak kan ?", Azli Affendi meninggikan sedikit nada suaranya.

Dan Atiqah Yazid masih membatu, dia hanya diam, kain purdah yang menutup lapan puluh peratus bahagian mukanya tidak memungkinkan seseorang untuk mengetahui reaksi wajahnya. Hanya matanya saja yang boleh memberitahu, matanya yang bagai mutiara kelihatan redup dan sayu seperti sayunya cuaca pada petang itu.

" Tapi percayalah lah, walau apa pun yang saya baca, walau apa pun yang saya dengar, walau apa pun yang saya jadikan idola, saya tetap tidak menyokong kezaliman dan cintakan kesejahteraan, bukan kah itu juga inti dalam Islam ? ", Azli Affendi masih setia mengeluarkan kata walaupun dia sedar yang dia sedang bercakap dengan patung.


Titisan muda hujan mulai turun, angin bertiup kencang, nampaknya awan sudah sedia menyiram bumi. Atiqah Yazid berjalan pergi meninggalkan Azli Affendi yang masih berdiri di situ, dia berlalu pergi tanpa sepatah haram kata-kata, tanpa mengucap salam jauh sekali goodbye.

Azli Affendi menoleh, melihat susuk Atiqah Yazid yang berlalu pergi. Mukanya mula basah di hinggap titisan hujan, matanya terkebil-kebil, lalu Azli Affendi terus melabuhkan badannya ke tanah dan ya, sekarang dia sedang terbaring di atas tanah sambil memandang ke langit yang gelap suram, langit yang sedang menangiskan hujan.

Hujan mulai lebat, semakin lama semakin laju titisan hujan terjun ke bumi. Seperti titisan hujan yang sedang jatuh ke bumi, Azli Affendi sedang rasakan, dia turut sama jatuh. Mungkin lebih teruk dari itu, dia sedang jatuh dan berkecai.